PENTINGNYA KELENGKAPAN MENUNGGANG MOTOSIKAL DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN
Apa itu kelengkapan menunggang?
Secara umumnya, pada pandangan orang biasa kelengkapan menunggang itu adalah
topi keledar, lesen memandu, kad pengenalan dan cukai jalan. Akan tetapi,
adakah itu mencukupi untuk kita sebagai penunggang motosikal? Jika tujuannya
untuk mengelakkan dari disaman oleh pihak berkuasa,mungkin ya tetapi jika
tujuannya untuk mengelakkan dari disaman pihak berkuasa DAN menjaga keselamatan
serta nyawa, mungkin tidak sama sekali.
Kebanyakan rakyat di Malaysia
lebih suka menggunakan motosikal sebagai kenderaan alternatif untuk mengelakkan
kesesakan lalu lintas yang teruk lantas mengurangkan penggunaan masa di atas
jalan raya untuk pergi ke sesebuah tempat terutamanya ke tempat kerja.
Penunggang motosikal juga harus sedar bahawa kita lebih banyak terdedah kepada
bahaya berbanding pengguna kereta atau kenderaan awam. Jadi apakah inisiatif
kita sebagai penunggang motosikal untuk memastikan keselamatan diri?
1.Topi keledar
Topi keledar adalah kelengkapan
yang paling penting bagi penunggang motosikal malah ianya diwajibkan bagi
setiap penunggang di Malaysia. Sesetengah orang mengambil ringan mengenai topi
keledar. Sebagai contoh, ramai dikalangan penunggang tidak memakai topi keledar
jika jarak perjalan terlalu dekat; 100 meter, 200 meter. Apakah tiada kesedaran
bahawa bahaya itu boleh datang pada bila-bila masa? Selain itu, penggunaan topi
keledar separuh juga boleh dikatakan trend bagi sesetengah penunggang. Sudah
terang lagi bersuluh yang topi keledar jenis itu sangat tidak sesuai untuk
digunakan di atas jalan raya. Topi keledar yang bagus semestinya jenis
fullface, tetapi adalah mencukupi jika ianya menutupi keseluruhan bahagian
tengkorak kepala memandangkan jenis fullface agak mahal harganya. Ada juga
sesetengah penunggang yang sudah memakai topi keledar yang sepatutnya TETAPI
tidak mengikat tali dan membiarkannya berjuntaian. Tidak guna juga jika ada
perlindungan tetapi tidak digunakan dengan betul.
2. Jaket
Ramai yang mengambil remeh
tentang jaket. Ianya bukan sweater tetapi jaket menunggang yang sebenar. Ada
juga yang mengejek-ejek penunggang yang memakai jaket kononnya seperti
penunggang motorsikal berkuasa tinggi walhal cuma menunggang kapcai tetapi
apakah kita sedar bahawa jaket itu memberikan perlindungan pada tulang
belakang, tulang bahu, dada serta kulit badan? Terdapat banyak jenis jaket yang
berada di pasaran sekarang, tidak seperti 10 tahun yang lalu yang mana jaket
ini susah untuk didapati dan jika ada pun, harganya tidak kurang juga mahalnya.
Kini terdapat banyak kedai yang membawa masuk jaket-jaket ini ke dalam pasaran
Malaysia dan ianya terpulang pada kita untuk membeli atau tidak. Jika anda
adalah penunggang motorsikal, anda perlu memikirkan tentang jaket ini dan
mungkin anda patut memilikinya.
3. Sarung Tangan
Ini bukan sarung tangan
berkebun tetapi sarung tangan khas untuk menunggang motorsikal. Sarung tangan
yang bagus dapat melindungi pergelangan tangan anda dengan baik. Mengikut
pengalaman, jika kita terjatuh dari motorsikal kita akan lebih cenderung untuk
menahan tangan atau tapak tangan ke atas jalan raya. Jika anda sayangkan kulit
dan tulang tangan anda, anda harus dapatkannya sepasang di kedai-kedai
motorsikal berhampiran.
4. Kasut/Boot
Kasut adalah tidak asing bagi
penunggang motosikal. Kebanyakan penunggang memang memakai kasut cuma
sesetengah sahaja yang lebih selesa dengan berselipar. Bagi yang berkasut, itu
adalah bagus tetapi bagi yang lebih suka berselipar, anda telah merisikokan
keselamatan kaki anda. Tahukah anda dengan berkasut anda dapat melindungi kuku
kaki,jari-jari kaki,kulit kaki, buku lali serta kulit kaki anda? Pasti ramai
yang pernah mengalami tercabut kuku dan anda tahu bagaimana sakit dan peritnya
untuk menghadapi situasi itu. Betapa pedihnya kulit yang luka jika terkena air.
Adakah kita fikir akan semua itu?Kasut atau boot juga terdapat dalam pelbagai
jenis. Ada yang menutupi hingga buku lali dan ada juga yang menutupi hingga
tulang betis. Terpulang pada anda untuk memilih kasut/boot mengikut keselesaan
dan keadaan. Anda tidak perlu untuk memiliki kasut atau boot menunggang yang
ekstrem tetapi adalah penting untuk berkasut ketika menunggang.
5. Pad
Pad adalah kelengkapan
tambahan kepada seorang penunggang motosikal jika anda mementingkan keselamatan
hingga ke tahap maksimum. Pad terbahagi kepada dua iaitu pad siku dan pad
lutut. Anda pernah lihat orang muda yang bermain papan luncur atau sukan
ektrem? Begitulah juga rupa pad untuk penunggang motosikal. Tidak banyak
bezanya. Kelengkapan ini sangat diambil ringan bagi kebanyakan penunggang yang
mungkin tidak mahu kelihatan obses dengan motorsikal. Anda perlu tahu bahawa
pad-pad ini dapat melindungi siku dan lutut anda dengan baik. Materialnya
adalah plastik yang keras dan mampu menghadapi hentakan. Ya, walaupun sakit
jika terjatuh motorsikal dan terhentak lutut atau siku di atas jalan, tetapi
sekurang-kurangnya pad-pad ini dapat melindungi tempurung lutut atau siku
daripada kecederaan yang lebih sirius.
6. Insurans Kemalangan Diri (PA Insurance)
Jika anda mahukan lebih
perlindungan selain daripada kelengkapan-kelengkapan di atas, anda perlukan
kelengkapan keenam ini. Insurans kemalangan diri ini walaupun tidak dapat
memberikan perlidungan ketika kejadian berlaku, setidaknya ia dapat membantu
anda dan keluarga selepas kemalangan. Insurans kemalangan diri biasanya akan
melindungi bagi kes kematian dan kecacatan kekal. Walaupun anda telah
menyiapkan diri dengan kelengkapan di atas, tetapi jika berlaku juga kejadian
tidak diingini contoh anda hilang upaya kekal atau kematian,sekurang-kurangnya
anda tidak mensia-siakan usaha anda untuk melindungi diri sebaik mungkin.
Walaupun insurans motosikal anda memang dilengkapi dengan insurans kemalangan
diri, tetapi tidak salah jika anda memiliki insurans kemalangan diri yang
berasingan.
Kita sebagai penunggang
motorsikal di negara ini harus menitik beratkan tentang keselamatan diri.
Jangan sesekali mengambil ringan tentang keselamatan anda dan biarkan apa kata
orang ramai terhadap anda. Yang akan menanggung akibat adalah anda dan bukan
mereka. Ingat, keselamatan dan nyawa anda terletak pada kesedaran dan usaha
anda sebagai penunggang.
SEKIAN.
SEKIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan